Perasmian Projek Ternakan Kerang, Kg Tok Muda, Kapar

Kapar, 3/6/2008 – Y A B Tan Sri Dato Abd Khalid Ibrahim ,Dato’ Menteri Besar Selangor merasmikan Projek Ternakan Kerang di Kampung Tok Muda, Kapar. Projek di bawah Jabatan Perikanan Negeri Selang telah membantu nelayan menambah pendapatan. Seluas 9,700 hektar daripada 41 ribu kawasan kerang Selangor hektar atau 194 lot dibangunkan dahulu dengan melibatkan 1,771 orang nelayan pantai. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Y.B. Dato` Ramli Bin Mahmud , Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y B Tuan Yaakob Sapari,  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan,  Y B Sdr S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kapar, Y.B. Tuan Dzulkefly Bin Ahmad ,Ahli Parlimen Kuala Selangor, Y B Dr Abd Rani bin Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Meru) , Pn. Thalathiah bt. Hj. Saidin, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan Ketua Bahagian PKR Kapar Tuan Hj Bakir.  

Seluas 41,000 hektar kawasan pesisir pantai negeri ini diperuntukkan bagi projek kebun kerang yang dibangunkan secara berperingkat, manakala 26,000 hektar yang lain dikekalkan sebagai kawasan pembenihan kerang secara semula jadi. Tahap pertama membabitkan 194 lot di kawasan seluas 9,700 hektar membabitkan 1,771 nelayan pantai. Projek ini dianggap sangat berpotensi kerana spesies kerang di Selangor, Anadaragramose, diiktiraf terbaik di dunia sehingga ia menjadi rebutan sama ada di negara jiran atau rantau lebih jauh.  

Kawasan Kapar dipilih kerana mempunyai banyak benih kerang terbaik terutama  bulan April dan Disember setiap tahun di garisan pasang surut air laut.  Benih kerang diambil menggunakan tangguk jaring bersaiz kecil semasa air surut bagi memerangkap pelbagai peringkat dan saiz benih yang diperlukan. Selepas itu benih kerang yang telah dikumpul, dikira dan direkodkan akan ditabur di kawasan plot atau dipanggil kebun yang ditetapkan. 

Terdapat dua buah plot yang diberikan oleh Jabatan Perikanan yang setiap satu seluas 50 hektar. Setiap satu plot diuruskan oleh 10 hingga 15 orang nelayan dan mereka perlu memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan purata dua tan kerang sehari. Benih kerang yang telah ditabur akan dibiarkan dan setiap dua bulan kawasan plot perlu digembur bagi membolehkan anak-anak kerang mendapatkan ruang dan makanan yang cukup untuk membesar. Jika terus dibiarkan, kerang tidak boleh bergerak bebas untuk mendapatkan makanan dan menyebabkan tumbesarannya terbantut. 

Biasanya kerang akan dituai selepas 12 hingga 14 bulan selepas benih ditabur di kawasan berkenaan. Menuai kerang bukan kerja mudah memandangkan sebuah bot dengan tiga orang pekerja diperlukan bagi menjalankan operasinya. Dua pekerja menggunakan bakul bagi mengaut kerang yang terdapat di kawasan lumpur di dasar laut.

Selepas dituai, kerang akan dibasuh dan dibersihkan menggunakan mesin bagi mengasingkan sampah sarap. Penggunaan mesin memudahkan kerja-kerja pembersihan yang sebelum ini dilakukan secara manual.

Menggunakan kaedah giliran, mereka akan menuai kerang di satu-satu kawasan selama empat bulan sebelum pindah ke kawasan satu lagi. Plot berkenaan dibahagi kepada beberapa bahagian dengan pancang kayu bagi memudahkan giliran menuai kerang. Ini akan membolehkan kerang membiak semula dan sumber kerang tidak terputus walaupun di luar musim. Biarpun benih kerang hanya didapati dengan banyak dalam bulan April dan November, benih akan dikumpul sebelum disimpan di kawasan plot. Ini penting bagi bekalan kerang sepanjang tahun dan bukan semua kawasan mempunyai benih kerang. Ini memandangkan satu kilogram anak kerang kira-kira 70,000 biji manakala satu kilogram kerang lebih kurang 60 hingga 70 biji.

Selepas setahun beroperasi, Nelayan Kampung Tok Muda boleh menarik nafas lega apabila usaha mereka telah mula membuahkan hasil. Kini mereka boleh menuai hasil sehingga 1.5 hingga dua tan kerang sehari mengikut keperluan. Biarpun tidak menggunakan modal yang banyak bagi tujuan penyelenggaraan tetapi kos mengumpul benih kerang agak tinggi. Kerang mendapat pasaran yang menggalakkan daripada peraih, pemborong dan orang perseorangan yang datang membeli sendiri. Kerang Kampung Tok Muda mendapat pasaran di Pasar Besar Klang, Pasar Kapar, Pasar Pandamaran dan Pasar Shah Alam.

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: